UMS sedarkan orang ramai kepentingan kekal hutan
KOTA KINABALU: Universiti Malaysia Sabah (UMS) di sini akan meningkatkan usaha menyedarkan orang ramai mengenai kepentingan menanam pokok dan mengekalkan hutan semula jadi sebagai pendekatan utama mengurangkan kesan pemanasan global. Naib Canselornya, Prof Datuk Dr Kamaruzaman Ampon, berkata program itu dimulakan di peringkat kampus berkenaan melalui pembabitan pensyarah dan pelajar dalam aktiviti penanaman pokok bagi menghijaukan dan mewujudkan suasana redup. Katanya, langkah itu perlu bagi memulihkan iklim dunia semasa yang semakin panas berikutan penebangan pokok dan pembersihan hutan secara berleluasa untuk pelaksanaan pelbagai projek pembangunan dan komersil.
Sehubungan itu, katanya, UMS akan berusaha menyedarkan orang ramai mengenai kepentingan hutan supaya usaha melindungi hutan dan menambah bilangan pokok di negeri ini dapat dijayakan bersama. "Sejak beberapa tahun lalu, isu pemanasan global hangat dibincangkan dalam pelbagai forum sama ada di peringkat kebangsaan atau antarabangsa. Di seluruh dunia, pelbagai desakan disuarakan untuk mengurangkan gas rumah hijau. "Isu ini membuktikan pentingnya hutan dikekalkan kerana secara semula jadi, ia berfungsi sebagai penyerap karbon dioksida, iaitu satu daripada gas rumah hijau banyak dilepaskan di atmosfera yang menyebabkan peningkatan suhu.
"Kita perlu menanam pokok secara kekal dan memastikan hutan sedia ada tidak dimusnahkan. Pokok untuk tujuan pertanian kurang sesuai kerana ia akan melepaskan banyak karbon ke atmosfera apabila tanaman dituai," katanya pada majlis sambutan Hari Perhutanan Sedunia Peringkat UMS, di sini kelmarin. Teks ucapannya dibacakan Dekan Sekolah Perhutanan Tropika Antarabangsa UMS, Prof Madya Dr Mahmud Sudin. Sambutan itu diadakan diseluruh dunia sejak 38 tahun lalu. Tahun ini, tema `Pokok Sebagai Penyejuk Bumi' dipilih. UMS menyokong usaha mengekalkan hutan yang merangkumi aspek perlindungan, pengeluaran, rekreasi dan kualiti alam sekitar hutan.
Kamaruzaman berkata, sejak 50 tahun lalu, purata suhu global meningkat dengan pantas dan saintis bersetuju keadaan itu akan bertambah buruk jika usaha mengurangkan pencemaran yang menyebabkan pemanasan global gagal dilaksanakan. "Pokok dan hutan bukan saja penting untuk menyerap karbon dioksida dan menghasilkan oksigen, malah bertindak sebagai pelindung, penapis air, pembersih udara, menyimbangkan iklim, kitaran hidrologi, membantu menghalang hakisan tanah dan menyediakan habitat haiwan. "Menanam pokok juga dapat menyejuk dan meredupkan bangunan, malah dengan hanya menanam sekurang-kurangnya tiga pokok di sekeliling rumah, membantu mengurangkan penggunaan tenaga hingga 50 peratus. "Bagi sebuah bandar raya, pokok boleh mengurangkan suhu panas bandar dan menjadikan udaranya lebih bersih. Pokok bertindak sebagai paru-paru bumi dengan menyerap karbon dioksida bagi menghasilkan oksigen untuk keperluan semua hidupan," katanya.
No comments:
Post a Comment