Aleacorp

Wednesday, April 15, 2009

Berita dari Sabah

Sektor awam tak minta promosi negeri

KOTA KINABALU: Kementerian Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar negeri membidas sikap segelintir kakitangan awam yang enggan menghadiri jemputan ke majlis berunsur kebudayaan bagi mempromosi sektor pelancongan. Menterinya, Datuk Masidi Manjun, berkata sikap itu menunjukkan tiada kerjasama padu pihak berkenaan untuk mengembangkan potensi pelancongan di negeri ini, sekali gus menjejaskan usaha kerajaan memajukan sektor berkenaan. Katanya, kehadiran jemputan ke majlis itu penting sebagai tanda sokongan kepada usaha kerajaan mempromosi keunikan budaya masyarakat setempat sebagai tarikan pelancongan bagi menggamit lebih ramai pelancong berkunjung ke negeri ini.
"Apabila dijemput, masing-masing mengatakan `insyaAllah' tetapi tidak datang. Kemudian, apabila ditanya kenapa tidak datang, dengan selamba mereka mengatakan `manusia hanya merancang tetapi Tuhan yang menentukan'. "Sikap seumpama ini tidak baik diamalkan. Kalau tidak dapat hadir, jelaskan awal-awal supaya kita dapat batalkan jemputan mereka untuk diberikan kepada orang lain yang ada komitmen menyokong usaha kerajaan memajukan sektor pelancongan. "Jika dua kali dijemput tidak hadir, kita akan senarai hitam nama mereka sebagai pengajaran kepada kakitangan awam yang enggan memberikan kerjasama dalam aspek berkaitan pembangunan negeri," katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media mengenai sambutan Pesta Sabah yang akan diadakan dari 2 hingga 11 Mei depan, di sini semalam. Hadir sama, Pengerusi Lembaga Pelancongan Sabah (STB), Datuk Seri Tengku Zainal Adlin Tengku Mahmud. Masidi berkata, kakitangan awam dianggap ejen tidak rasmi untuk mempromosi negeri ini sebagai destinasi pelancongan popular tetapi keengganan mereka menghadiri majlis yang berkaitan usaha itu menjejaskan tanggungjawab berkenaan. "Bukan saja kakitangan awam, menteri dan pembantu menteri juga diwajibkan hadir apabila dijemput menghadiri majlis itu untuk memberi pendedahan dan maklumat kepada mereka mengenai keunikan budaya masyarakat.
"Ia penting kerana jika ditanya pelancong atau orang luar mengenai keunikan Sabah, mereka boleh menjawabnya dengan tepat. Kita tidak mahu ada menteri, pembantu menteri atau kakitangan awam yang tidak dapat memberikan jawapan," katanya. Mengenai Pesta Sabah, Masidi berkata, tahun ini pihaknya akan menonjolkan upacara pemujaan berunsur mistik dipanggil `Mamahui Pogun' yang diamalkan masyarakat Dusun Lotud dari Tuaran ketika memohon dijauhi masalah dan ancaman daripada `Kinoringan' atau tuhan. Turut ditonjolkan, katanya, tradisi pasar tamu zaman lampau yang membabitkan upacara penyembelihan haiwan ternakan sebagai tanda permuafakatan antara peniaga pelbagai kaum untuk menjalankan perniagaan secara jujur dan adil. "Upacara yang dijalankan itu ialah upacara sebenar yang diamalkan oleh suku kaum Lotud. Kita mahu pelancong dan orang ramai melihat upacara ini supaya mereka tahu adat dan amalan masyarakat kita yang masih diwarisi sehingga kini. "Ia akan dipertontonkan kepada orang ramai pada 2 dan 3 Mei ini di Magellan Sutera Harbour, bermula jam 8 malam," katanya. Acara kebudayaan sampingan beberapa etnik terpilih turut diadakan di Kampung Budaya Muzium Sabah dari 4 hingga 11 Mei bermula jam 10 pagi hingga 5 petang. .petikan Berita Harian

No comments:

Post a Comment