Aleacorp

Wednesday, April 15, 2009

Berita dari Sabah

KOTA KINABALU: Sabah Electricity Sdn Bhd (SESB) akan menurunkan Indeks Sistem Jangkamasa Purata Gangguan (Saidi) bekalan tenaga elektrik di negeri ini pada kadar 240 minit setahun menjelang 2012 berbanding 1,000 minit setahun sekarang. Pengarah Urusannya, Baharin Din, berkata SESB yakin sasaran itu mampu dicapai berdasarkan langkah pengukuhan perkhidmatan dan peningkatan bekalan tenaga yang dilaksanakan sekarang.
Katanya, walaupun Saidi 1,000 minit setahun sekarang tinggi, ia masih dianggap tidak menjejaskan operasi SESB kerana kebanyakan gangguan bekalan tenaga dicatatkan di luar bandar. "Lebih 80 peratus daripada bekalan tenaga di negeri ini disalurkan ke luar bandar. Tahap Saidi yang direkodkan di kawasan itu tinggi kerana masalah perhubungan dan logistik. "Bagaimanapun, Saidi yang direkodkan di luar bandar sebenarnya lebih rendah daripada purata keseluruhan. Ada kawasan yang mencapai tahap 500 minit setahun kerana kami tidak dapat bertindak lebih cepat jika berlaku gangguan bekalan tenaga di kawasan itu," katanya, di sini semalam.
Beliau mengulas mengenai aduan pengguna mengenai kekerapan gangguan bekalan tenaga di negeri ini. Saidi adalah indeks yang digunakan sebagai petunjuk keyakinan terhadap sesebuah syarikat utiliti dalam memberikan perkhidmatan memuaskan kepada pengguna. Katanya, SESB komited mengurangkan Saidi sedia ada bagi meningkatkan keyakinan pelabur terhadap kemampuan syarikat itu membekalkan tenaga berterusan di negeri ini. "Kadar Saidi di seluruh negeri sebelum ini 4,000 minit setahun tetapi SESB berjaya menurunkannya kepada 1,000 minit setahun. Kami akan terus berusaha mengurangkannya seminimum yang mungkin.
"Semakin rendah kadar Saidi, semakin baik perkhidmatan untuk pengguna. Ini mampu menggalakkan pelaburan di negeri ini," katanya..Berita Harian.

No comments:

Post a Comment